George Dewey

George Dewey
Dewey pada tahun 1899
Kelahiran(1837-12-26)26 Disember 1837
Montpelier, Vermont, A.S.
Meninggal dunia16 Januari 1917(1917-01-16) (umur 79)
Washington, D.C., A.S.
DisemadikanWashington National Cathedral
KesetiaanAmerika Syarikat
PerkhidmatanTentera Laut Amerika Syarikat
Tentera Laut Kesatuan
Tahun perkhidmatan1858–1917
Pangkat Admiral of the Navy
ArahanSkuadron Asia
Lembaga Umum Tentera Laut Amerika Syarikat
PertempuranPerang Saudara Amerika
  • Pertempuran Forts Jackson dan St. Philip
  • Penawanan New Orleans
  • Kepungan Port Hudson
  • Pertempuran Pertama Fort Fisher
  • Pertempuran Kedua Fort Fisher

Perang Amerika Syarikat–Sepanyol

  • Pertempuran Teluk Manila

Perang Filipina-Amerika

  • Pertempuran San Roque
Krisis Venezuela 1902–1903
Tandatangan

George Dewey (26 Disember 1837 – 16 Januari 1917) ialah Admiral of the Navy, satu-satunya individu dalam sejarah Amerika Syarikat yang pernah mencapai pangkat tersebut. Beliau paling dikenali kerana kemenangannya dalam Pertempuran Teluk Manila semasa Perang Sepanyol–Amerika, dengan hanya seorang anak kapal Amerika yang terkorban.

Dewey dilahirkan di Montpelier, Vermont. Pada usia 15 tahun, ayah Dewey mendaftarkannya di Universiti Norwich di Northfield, Vermont. Dua tahun kemudian, beliau dibuang dari universiti itu kerana mabuk dan membawa kawanan biri-biri masuk ke berek. Selepas itu, beliau memasuki Akademi Tentera Laut Amerika Syarikat pada tahun 1854. Beliau tamat pengajian dari akademi itu pada tahun 1858 dan ditugaskan sebagai leftenan eksekutif kapal USS Mississippi pada permulaan Perang Saudara Amerika. Beliau terlibat dalam penawanan New Orleans dan Kepungan Port Hudson, membantu pihak Kesatuan menguasai Sungai Mississippi. Menjelang akhir perang, Dewey mencapai pangkat Leftenan Komander.

Selepas Perang Saudara, Dewey menjalankan pelbagai tugasan, berkhidmat di beberapa kapal (termasuk USS Constitution) dan sebagai pengajar di Akademi Tentera Laut. Beliau juga berkhidmat dalam Lembaga Rumah Api Amerika Syarikat dan Lembaga Pemeriksaan dan Kajian. Beliau dinaikkan pangkat ke Komodor pada tahun 1896 dan ditugaskan ke Skuadron Asia pada tahun berikutnya. Selepas pelantikan itu, beliau mula membuat persiapan untuk kemungkinan perang dengan Sepanyol, yang meletus pada April 1898. Sejurus selepas perang bermula, Dewey mengetuai serangan ke atas Teluk Manila, menenggelamkan atau menawan seluruh armada Sepanyol di Pasifik dengan hanya mengalami sedikit kerugian. Selepas pertempuran itu, armadanya membantu dalam penawanan Manila. Kemenangan Dewey di Teluk Manila dipuji secara meluas di Amerika Syarikat, dan beliau dinaikkan pangkat ke Admiral of the Navy pada tahun 1903.

Dewey pernah mempertimbangkan untuk bertanding dalam pilihanraya presiden Amerika Syarikat 1900 bagi pencalonan Parti Demokrat, tetapi beliau menarik diri dan menyokong Presiden William McKinley. Beliau berkhidmat dalam Lembaga Umum Tentera Laut Amerika Syarikat, sebuah badan penting dalam pembentukan dasar, dari tahun 1900 sehingga kematiannya pada tahun 1917.