Gayathri Mantra
Gayathri Mantra (dalam sebutan Sanskrit: [gaː.yɐ.triː.mɐn.trɐ])—juga dikenali sebagai Mantra Savitri (sebutan Sanskrit: [saː.vi.triː.mɐn.trɐ])—ialah sebuah mantra suci yang berasal dari Rig Veda (Mandala 3.62.10). Ia ditujukan kepada dewa Veda yang dikenali sebagai Savitr, Sang Pencipta dan penggerak alam semesta. Mantra ini dikaitkan dengan Brahmaresi Vishvamitra, seorang raja yang mencapai tahap resi melalui pertapaan dan kebijaksanaan rohani.
Jika ada satu mantra Veda yang masih hidup dan diamalkan secara meluas dalam kalangan penganut Hindu moden, ia adalah mantra Gayatri. Selain terkandung dalam Rigveda (3.62.10), mantra ini turut muncul dalam kitab-kitab Veda lain seperti Taittiriya Samhita (1.5.6.4; 4.1.11.1), Taittiriya Aranyaka (1.11.2), Vajasaneyi Samhita (3.35; 22.9; 30.2; 36.3), dan Samaveda Samhita (1462).
Mantra ini dikatakan telah diwahyukan kepada resi terkenal, Vishvamitra, dan menjadi bahagian paling penting dalam upacara harian Sandhya yang dilaksanakan oleh setiap lelaki Brahmana sekali, dua atau tiga kali sehari.
Sebenarnya, nama asalnya ialah mantra Savitri, kerana ia merupakan doa yang ditujukan kepada Tuhan Tertinggi, Savitr atau Savita (Sang Pencipta). Namun, kerana ia merupakan mantra pertama yang diwahyukan dalam metrum gayatri—iaitu bentuk puisi yang mengandungi tiga baris dengan lapan suku kata setiap satu—mantra ini kemudiannya dikenali secara popular sebagai mantra Gayatri.
Perkataan Gayatri kadangkala ditafsirkan sebagai: "mantra yang melindungi (tri = lindung) orang yang melafazkannya (gai = nyanyi)".