Formulasi racun makhluk perosak
Formulasi racun makhluk perosak adalah proses formulasi yang dijalankan oleh sesuatu pengeluar racun perosak dengan mencampurkan sesuatu sebatian kimia dengan bahan-bahan lain seperti bahan pengemulsi, pelarut atau agen pembasah tertentu. Racun perosak tidak digunakan dalam bentuk bahan kimia tetapi sebaliknya sebatian kimia tersebut perlu diproseskan terlebih dahulu oleh pengilang sebelum boleh digunakan. Racun perosak boleh digunakan dengan hanya mengikut cara-cara yang diberikan pengeluar. Biasanya pengguna hanya perlu mencairkan racun tersebut atau boleh juga digunakan terus bergantung kepada jenis formulasi. Faedah-faedah lain yang boleh didapati daripada formulasi itu ialah:
- meningkatkan fitotoksik racun rumpai
- membolehkannya lama disimpan dan tidak cepat rosak akibat perubahan cuaca dan masa
- mudah diurus oleh pengguna.
Sesuatu racun perosak boleh didapati dalam beberapa bentuk formulasi yang berbeza iaitu sama ada dalam bentuk emulsi pekat, serbuk atau granul. Walaupun begitu, keadaan ini jarang terdapat dalam pasaran kerana kebanyakan racun perosak akan ada dalam satu bentuk sahaja. Sekiranya terdapat beberapa bentuk formulasi bagi satu jenis racun perosak, maka pengguna mempunyai peluang untuk memilih formulasi yang lebih berkesan bagi sesuatu perosak. Pemilihan boleh dibuat berasaskan keberkesanan dalam mengawal perosak dan kesesuaian alat penyembur. Selain daripada itu faktor-faktor lain seperti masalah hanyutan dan kesan kecedaraan ke atas bahagian-bahagian yang dikawal juga mempengaruihi pemilihan sesuatu bentuk formulasi.