Dolar Sepanyol

Dolar Sepanyol (Sepanyol: Real de a ocho, Dólar, Peso duro, Peso fuerte atau Peso; bahasa Inggeris: piece of eight) adalah duit syiling perak berukuran diameter kira-kira 38 mm (1.5 in) dengan nilai bersamaan lapan keping real Sepanyol. Ia dicetak pihak Empayar Sepanyol berikutan suatu perombakan dasar kewangan yang dilakukan serata jajahan-jajahannya pada tahun 1497.

Kepingan ini sangat digemari dalam urus niaga kerana sifat dan rupa wang dikilang yang malar dan seragam. Mata wang ini digunakan secara meluas sebagai suatu mata wang sedunia terutamanya di Eropah, benua-benua Amerika dan Timur Jauh pada akhir abad ke-18. Unit ini mengilham banyak mata wang moden yang sedia ada termasuk yen Jepun, yuan Cina, dolar-dolar Amerika Syarikat dan Kanada, pelbagai jenis unit peso termasuklah wang ringgit di alam Melayu. Simbol "$" yang berkaitan dengan wang turut datang dari rupa yang dicetak pada kepingan wang dolar ini.