Darjah kebesaran negara Indonesia

Darjah kebesaran negara Indonesia ialah anugerah ketenteraan dan orang awam atas perkhidmatan dan sumbangan peribadi terhadap Republik Indonesia. Menurut Perlembagaan Indonesia, Bab III Fasal 15: "Presiden menganugerahkan darjah kebesaran, pingat dan penghargaan lain sebagaimana menurut undang-undang".

Merujuk undang-undang no. 20/2009, terdapat tiga jenis anugerah; gelaran Pahlawan Nasional Indonesia, Darjah Bakti (Indonesia: Tanda Jasa) dan Darjah Kehormatan (Indonesia: Tanda Kehormatan). Darjah Bakti terdiri daripada Medali (pingat kebesaran berbentuk pentagon), manakala Darjah Kehormatan terdiri daripada Bintang Republik Indonesia (pingat kebesaran berbentuk bintang), Satyalancana (pingat kebesaran berbentuk bulat), dan Samkaryanugraha (trofi penghormatan).

Semua anugerah dan penghargaan Republik Indonesia dianugerahkan kepada perseorangan warganegara Indonesia dan boleh juga dianugerahkan kepada warganegara asing, kecuali untuk Samkaryanugraha yang dianugerahkan kepada badan-badan atau pertubuhan. Nama anugerah dan penghargaan banyak memasukkan perkataan sanskrit, seperti yang biasa digunakan oleh pemerintah dalam banyak anugerah dan nama institusi lain.