Darah penuh

Darah penuh
Pakej darah penuh hasil sumbangan penderma di Persatuan Palang Merah
Data klinikal
Kaedah
pemberian
IV
Kod ATC
Pengecam
ChemSpider

Darah penuh ialah darah manusia yang diperolehi mengikut prosedur pendermaan darah yang piawai. Ia digunakan untuk merawat pendarahan teruk melalui transfusi tukaran atau apabila orang menderma darah kepada diri mereka sendiri. Satu unit darah penuh (~517 mL) meningkatkan tahap hemoglobin kira-kira 10 g/L. Padanan silang biasanya dilakukan sebelum darah diberikan. Kemudian darah itu diberikan melalui suntikan ke dalam vena.

Kesan sampingan termasuk pemecahan sel darah merah, peninggian kalium darah, jangkitan, pembebanan lampau isi padu saluran darah, kecederaan peparu, dan pelbagai jenis tindak balas alahan seperti anafilaksis. Darah penuh terdiri daripada sel darah merah, sel darah putih, platelet, dan plasma darah. Darah penuh adalah yang terbaik jika digunakan dalam masa sehari selepas pengumpulan, tetapi ia juga boleh digunakan dalam jangka masa tiga minggu. Darah biasanya dikumpul sekali dengan pengantikental dan pengawet semasa proses pengumpulan.

Pemindahan pertama darah penuh dilakukan pada tahun 1818, tetapi penggunaan secara umum tidak berlaku sehinggalah Perang Dunia Pertama dan Kedua. Darah penuh disenaraikan dalam Senarai Piawai Ubat-ubatan Penting Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Pada tahun 1980-an kos darah penuh dianggar bernilai 50 dolar seunit di Amerika Syarikat. Darah penuh tidak biasa digunakan selain negara-negara membangun dan kegunaan tentera. Ia digunakan untuk membuat beberapa produk darah termasuk sel darah merah terpadat, platelet pekat, kriomendakan, dan plasma beku segar.