Casus belli

Casus belli ialah ungkapan bahasa Latin moden yang membawa pengertian "sebab atau alasan untuk memulakan peperangan". Casus bermakna "peristiwa" atau "perpecahan", manakala belli bermakna "perang".

Casus belli sering salah dieja dan salah disebut sebagai "causus belli" kerana ia kelihatan seakan-akan perkataan bahasa Inggeris "cause" (serta perkataan bahasa Latin causa yang bermaksud 'sebab') dan kerana, dalam penggunaan umum, istilah ini biasanya bermaksud "sebab untuk perang".

Walaupun istilah ini telah amat lama digunakan dalam bahasa Latin, ia tidak digunakan secara meluas sehingga akhir abad ke-19, dengan kemunculan doktrin politik "jus ad bellum" atau "teori perang adil". Penggunaan tak formal di luar takrif teknikal merujuk kepada mana-mana "alasan adil" yang sesuatu negara mungkin akan menuntut untuk memulakan pertempuran. Oleh itu, ia digunakan untuk memerihalkan secara retroaktif keadaan-keadaan dalam sejarah sebelum istilah ini digunakan secara meluas, serta untuk masa kini ketika memerihalkan keadaan-keadaan apabila peperangan dimulakan secara terkejut tanpa sebarang pengisytiharan.

Secara rasmi, sebuah kerajaan akan mengemukakan alasan-alasannya untuk memulakan peperangan, berserta hajatnya dan langkah-langkah yang mungkin boleh diambil untuk mengelakkan peperangan. Dengan berbuat demikian, kerajaan itu cuba menunjukkan bahawa ia memulakan peperangan hanya sebagai langkah yang terakhir ("Ultima Ratio") dan bahawa ia sebenarnya mempunyai "alasan adil" untuk berbuat demikian.