Buri
Buri (Jawi: بوري) ialah alat tiup diperbuat daripada cangkerang gastropoda beberapa jenis siput laut berbeza yang digunakan banyak masyarakat negara Pasifik, Amerika Selatan dan Asia Selatan. Cangkerang ini boleh didatangkan dari pelbagai spesies siput laut terutamanya yang jenis triton, cassis dan strombus di mana lubang tiup ditebuk pada hujung atau sisi pangkal cangkerang; suatu bahagian mulut diperbuat daripada kayu atau buluh juga boleh ditambahkan terpasang pada hujung cangkerang.
Perkataan buri merupakan turunan akar bahasa Melayu-Polinesia *tabuRi atau *tambuRiq menunjukkan kelaziman alat ini pada zaman leluhur Austronesia purba untuk menandakan ketibaan dalam pelayaran kapal, walau bagaimanapun penggunaan alat ini banyak berkurangan dengan masuknya pengaruh India atau Barat memasuki kepulauan Asia Tenggara berabad-abad kemudian.