Buraq
Buraq atau juga disebut eja Al-Buraq (bahasa Arab: البراق , dari segi bahasa bererti "kilat cahaya". Ia adalah sejenis makhluk menyerupai haiwan, besar sedikit dari himar (keldai) dan kecil sedikit dari baghal (haiwan kacukan keldai dan kuda).Diriwayatkan juga buraq ini merupakan makhluk yang menyerupai haiwan lagenda iaitu seekor kuda putih yang bersayap burung berbulu pelepah yang besar. Namun ada juga yang mengatakan buraq menyerupai burung putih yang besar. Walau bagaimanapun ia dijadikan oleh Allah bukan dari jenis yang berdarah, berdaging dan bertulang belulang seperti haiwan, sebaliknya ia diciptakan daripada cahaya.
Hikmah dijadikan buraq yang berfungsi sebagai kenderaan menyerupai seekor binatang walaupun unsur kejadiannya daripada cahaya, adalah bagi memudahkan Muhammad, kerana kenderaan yang lazim digunakan oleh manusia pada ketika itu ialah haiwan sama ada unta atau kuda dan seumpamanya.
Buraq mempunyai kelajuan yang luar biasa iaitu selangkah kakinya memacu, bergerak sejauh mata memandang. Sesuai dengan hakikat 'zat' lembaga buraq yang dijadikan oleh Allah SWT dari cahaya.
Ahli sains juga mendapati bahawa pergerakan yang paling pantas di alam maya ini ialah cahaya. Dalam kelajuan seperti cahaya, membolehkan Muhammad tiba di Masjid al-Aqsa Baitulmaqdis dalam waktu yang singkat.