Brahmaloka

Brahmaloka (literal: ‘dunia Brahma’)(Sanskrit: ब्रह्मालोक, IAST: Brahmāloka) atau Satyaloka (Sanskrit: सत्यलोक) kadangkala merujuk kepada alam Brahma Sang Pencipta serta pasangannya, Saraswati. Dalam kitab Purana, ia juga disebut sebagai Brahmapura.

Brahmaloka, yang juga dikenali sebagai Satyaloka, merupakan destinasi akhir bagi mereka yang telah menyucikan diri melalui tapa dan meditasi. Mereka tidak akan kembali lagi ke alam keduniaan ini. Mereka akan berada di sana sehingga tamatnya satu Kalpa atau kitaran penciptaan. Apabila Brahmaloka turut larut kembali ke dalam Brahman Yang Tertinggi, mereka juga akan menyatu dengan-Nya. Hal ini disebut Kramamukti atau pembebasan secara beransur-ansur, berbeza dengan Sadyomukti iaitu pembebasan serta-merta.

Kitab Purana menggambarkan Brahmaloka sebagai dunia tertinggi daripada empat belas dunia, enam daripadanya berada di atas bumi ini dan tujuh, di bawahnya. Para penghuni Brahmaloka dikatakan sepenuhnya bebas daripada segala nafsu serta keterbatasan tubuh jasmani, tidak seperti di sini.

Kadangkala, dua dunia di bawah Brahmaloka, iaitu Janaloka dan Tapoloka, turut digolongkan bersama Brahmaloka dan disebut dengan nama yang sama.