BitTorrent (protokol)
BitTorrent ialah nama bagi sebuah protokol pengagihan fail pengguna ke pengguna, dan juga nama bagi perisian pelanggan bebas bagi protokol tersebut. Pada asalnya, protokol BitTorrent direka bentuk dan dicipta oleh Bram Cohen, seorang pengatur cara, tetapi kini ia diuruskan oleh BitTorrent Inc.
BitTorrent merupakan satu cara perkongsian fail yang bersaiz besar tanpa memerlukan kos lebar jalur, pelayan dan perkakas oleh pengedar fail yang asal.
Penggunaan protokol ini telah menyebabkan berlakunya permintaan perkhidmatan jalur lebar yang tinggi oleh masyarakat dunia amnya kerana ia memudahkan perkongsian fail walaupun dalam saiz dan bilangan yang amat besar.
Pelanggan BitTorrent yang asal ditulis dalam bahasa Python. Pada versi 4.0, kod sumbernya mula diterbitkan di bawah Lesen Sumber Terbuka BitTorrent. Terdapat juga pelbagai klien lain yang ditulis dalam pelbagai bahasa pengaturcaraan dan dijalankan dalam pelbagai pelantar pengkomputeran.