Bidadari
Bidadari (Sanskrit: विध्यधरी, rumi: vidhyadharī), juga dikenali sebagai apsara (Sanskrit: अप्सरा, rumi: apsarāḥ), adalah makhluk berupa seperti manusia berjantina wanita yang tinggal di kayangan atau syurga dalam kepercayaan penganut agama Hindu. Mereka dilihat memainkan peranan penting dalam ukiran, tarian, kesusasteraan dan lukisan berbilang budaya di Asia Selatan dan Asia Tenggara. Terdapat dua jenis apsara; laukika (duniawi), di mana tiga puluh empat telah ditentukan, dan daivika (syurgawi), yang mana terdapat sepuluh. Urvasi, Menaka, Rambha, Tilottama dan Ghritachi adalah antara yang dikenali ramai.
Bidadari dikenali sebagai vidhya dhari ataupun tep apsar (ទេពអប្សរ) dalam Bahasa Khmer, accharā (Bahasa Pali) ataupun a bố sa la tư (Bahasa Vietnam), biraddali (Bahasa Suluk), hapsari/apsari ataupun widadari/widyadari (Bahasa Jawa) and aapson (Bahasa Thai: อัปสร).
Dalam mitologi Hindu, bidadari adalah makhluk yang rupanya cantik rupawan. Wajahnya muda dan anggun, amat lincah dan pandai menari. Mereka sering dikenali sebagai isteri-isteri Gandharva, pemuzik istana Betara Indera. Mereka menari dengan muzik yang dimainkan oleh para Gandharva, biasanya di istana para dewa, menghibur dan kadang-kadang menggoda para dewa dan lelaki. Dan sebagai makhluk-makhluk halus yang mendiami langit, dan sering digambarkan beterbangan, atau berkhidmat pada dewa, mereka kadang kala dibandingkan dengan malaikat.
Bidadari dikatakan mampu berubah bentuk dan rupa mengikut sesuka hati dan boleh mempengaruhi nasib dalam pertaruhan. Bidadari kadang kala dibandingkan setaraf dengan dewi-dewi kesenian (Mousai) yang diketahui dalam kepercayaan Yunani Kuno, dengan setiap 26 bidadari di istana Betara Indera mewakili aspek yang berbeza dalam seni persembahan.