Bendahara
Bendahara (Jawi: بنداهارا) merupakan satu jawatan pentadbiran dalam kerajaan-kerajaan klasik Melayu sebelum kedatangan kuasa Barat pada abad ke-19 terutamanya di semenanjung Melayu setaraf wazir (di Brunei) atau mangkubumi (di Sumatera dan Borneo). Jawatan ini berperanan memegang khazanah harta benda yang dipegang kerajaan atau "perbendaharaan"; peranan ini boleh dibandingkan dengan jawatan perdana menteri selaku menteri kewangan yang wujud pada zaman moden. Bendahara dilantik oleh Sultan dan merupakan jawatan yang diwarisi dalam keluarga yang sama; malah Bendahara dan Sultan berkongsi jurai keturunan yang sama.
Gelaran ini pada asalnya membawa maksud "penyimpan kekayaan" meminjam dari bahasa Sanskrit भाण्डागार bhāṇḍāgāra terbitan भाण्डा bhāṇḍā bermaksud "barang dagangan" (juga diserap kepada perkataan "benda"). Pengistilahan ini turut memunculkan gelaran moden bendahari.