Batu Bersurat Dong Yen Chau

Batu Bersurat Dong Yen Chau adalah sebuah batu bersurat berbahasa Cam yang ditulis dalam tulisan Brahmi Selatan Kuno yang ditemui pada tahun 1936 di Đông Yen Châu, yang terletak di sebelah barat laut Trà Kiệu, tidak jauh dari ibu negara Kerajaan Campa lama di Inderapura (kini termasuk negara Vietnam). Batu bersurat ini ditulis dalam bentuk prosa, yang merupakan batu bersurat tertua di Cam, dan menunjukkan kepercayaan orang Cam zaman purba di Kerajaan Campa. Walaupun tidak ada tarikhnya, frasa yang digunakan menyerupai benar dengan yang digunakan pada batu bersurat bertarikh dalam bahasa Sanskrit, yang dikeluarkan oleh Raja Bhadravarman I dari dinasti kedua Campa (memerintah pada akhir abad ke-4 M). Kandungan tulisan itu merupakan mantera untuk menghormati 'naga raja yang suci', yang besar kemungkinan merupakan binatang pelindung yang suci dari suatu mata air atau sumur. Penggunaan pertuturan bahasa basahan pada batu bersurat ini menunjukkan bahawa pada abad ke-4, kawasan yang kini berada di tengah Vietnam itu didiami oleh populasi berbahasa Austronesia. Bukti monumen dan palaeografi juga menunjukkan bahawa Hinduisme adalah sistem kepercayaan yang dominan pada masa itu.

Persamaan tatabahasa dan perbendaharaan kata yang digunakan dalam tulisan ini kepada berbagai-bagai batu bersurat bahasa Melayu, telah menyebabkan beberapa penyelidik tempatan di Malaysia berpendapat bahawa peninggalan ini boleh dianggap sebagai contoh tertua dari bentuk bahasa Melayu Kuno yang diduga lebih tua daripada batu bersurat paling awal yang terdapat di Sumatera. Bagaimanapun para penyelidik memiliki pendapat khas bahawa tulisan ini ditulis dalam bahasa Cam Kuno yang masih satu rumpun dengan bahasa-bahasa Melayu kuno di Asia Tenggara, bahasa Camik dan Malayik berkait rapat, keduanya adalah dua subkumpulan bahasa Malayik-Camik, iaitu cabang keluarga bahasa Malayo-Polinesia dari keluarga bahasa Austronesia.