Batalion British
Batalion British adalah satu unit tentera British yang ditubuhkan secara ad-hoc dalam bulan Disember 1941 semasa Penjajahan Jepun di Tanah Melayu. Batalion ini ditubuhkan dengan menggabungkan saki baki dua buah batalion Tentera British yang mengalami jumlah kemalangan jiwa yang tinggi berjuang di utara Semenanjung Tanah Melayu semasa peringkat-peringkat terawal Penjajahan Jepun di Tanah Melayu berikutan penaklukan Jepun di Semenanjung Tanah Melayu dalam bulan Disember 1941.
Batalion British ditubuhkan hasil penggabungan dua buah batalion regular Tentera British iaitu batalion ke-2 Rejimen East Surrey dan Batalion Pertama Rejimen Leicestershire Diraja. Kedua-dua batalion ini telah berjuang begitu cemerlang menentang kemaraan Tentera Jepun di Jitra di sebelah utara Semenanjung Tanah Melayu.
Batalion British berkhidmat dalam Briged ke-15 Infantri India. Batalion British diletakkan di bawah pemerintahan Leftenan Kolonel C.E. Morrison, D.S.O., M.C., daripada Rejimen Leicestershire Diraja dan dibantu oleh Mejar R.G.G Harvey, D.S.O juga dari Batalion Pertama Rejimen Leicestershire Diraja. Batalion British kemudiannya berjuang dengan cemerlang dan berani sepanjang kempen menentang kemaraan Tentera Jepun tetapi terpaksa menyerah diri di Singapura pada 15 Februari 1942 bersama-sama lain-lain unit Tentera British apabila Jeneral A. E. Percival bersetuju menyerah kalah kepada Tentera Jepun.
Semasa penubuhannya pada 20 Disember 1940 batalion ini mempunyai anggota seramai 786 orang pegawai dan lain-lain pangkat. Pada saat serah kalah pada 15 Februari 1942, kekuatan batalion hanya tinggal 265 orang pegawai dan lain-lain pangkat. Batalion ini kemudiannya menjadi tawanan selama 3 ½ tahun. Semasa ini, Leftenan Kolonel C.E. Morrison terus mengetuai batalion ini.