Bajak
Bajak, tenggala atau luku ialah sejenis alat yang digunakan dalam perkebunan untuk menggemburkan tanah sebagai persediaan menanam biji benih. Bajak merupakan alat berguna dalam sejarah, walaupun keadaannya yang sederhana. Alat ini kebiasaannya diperbuat daripada kayu halban oleh sebab sifatnya yang kukuh dan mudah untuk dibentuk.
Masyarakat Melayu secara tradisinya menggunakan bajak serta tenaga daripada binatang penarik yang menarik bajak seperti kerbau untuk membajak sawah. Hal ini berterusan sehinggalah British membawa masuk mesin pembajak dan traktor sebagai teknologi dalam pertanian. Bajak juga dicatatkan bahawa ia merupakan salah satu alat pertanian yang mempunyai nilai-nilai arca, membuktikan kesenian masyarakat dahulu dalam menghasilkan alatan daripada kayu.