Ayat pasif (bahasa Melayu)

Ayat pasif ialah ayat yang menekankan objek dan perbuatannya berbanding "ayat aktif" yang menekankan si pelaku. Kedua-dua ayat tidak ada kelainan makna apa pun. Bagaimanapun, sasterawan dan penulis yang baik sering menggunakan ayat aktif dan ayat pasif secara sedar, bergantung kepada apa yang hendak ditekankan.

Kebetulan, hikayat-hikayat Melayu dan karya sastera Melayu lama lebih banyak menggunakan ayat pasif. Prof. St. Takdir Alisjahbana berpendapat bahawa kejadian itu disebabkan oleh cara hidup atau sikap pasif orang Melayu pada zaman silam. Bagaimanapun, ahli bahasa Awang Sariyan tidak bersetuju dengan pendapat itu, dan berasa bahawa pemilihan ayat pasif itu sebenarnya "mencerminkan budi dan peribadi orang Melayu yang tidak menekankan ego individu". Menurutnya, "barangkali dengan perubahan nilai hidup moden, penulis sekarang lebih banyak menggunakan ayat aktif yang menekankan pelaku".