Atap rumbia
Atap rumbia merupakan sejenis atap sesuatu binaan yang diperbuat daripada daun rumbia. Pada asasnya atap rumbia terdiri daripada "tulang" atau dikenali sebagai "bengkawan", yang diperbuat daripada buluh yang diraut ataupun kayu kecil yang dilipat daun rumbia bagi membentuk seperti sayap dan dijahit dengan menggunakan rotan ataupun kulit bemban untuk mengikatnya. Pada masa kini, kerana sukar untuk mendapatkan kulit pokok bemban tersebut, tali plastik atau nilon digunakan bagi menyemat atap.
Setiap atap rumbia biasanya mempunyai panjang kira-kira 1.5 meter hingga 1.8 meter dan daunnya perlu dilipat agar sama panjang untuk mencantikkan atap yang dihasilkan. Seorang pembuat atap yang mahir, mampu menghasilkan sebanyak 80 hingga 90 keping atap sehari kerana kerja membuatnya memerlukan pemerhatian yang rapi.
Atap rumbia yang dibuat menggunakan hanya selapis daun digelar atap kudi atau "kelarai", sementara atap yang diperbuat daripada dua lapis daun dikenali sebagai atap pakai atau "mata ketam". Atap mata ketam adalah lebih tebal dan tahan daripada atap kudi, tetapi harganya adalah lebih tinggi.