Aktivisme

Aktivisme ialah usaha untuk mempromosikan, menghalang, atau mempengaruhi perubahan sosial, politik, ekonomi, atau alam sekitar. Ia merujuk kepada gerakan secara individu atau kolektif yang bermatlamat, teratur, dan konsisten untuk mencapai kesedaran masyarakat umum mengenai sesuatu perkara dan menuntut perubahan.

Aktivisme digerakkan melalui pelbagai kaedah dan medium seperti menulis surat, berkempen, boikot, berhimpun, mogok lapar, atau ekspresi melalui seni lukisan atau muzik. Aktivisme memainkan peranan penting dalam memacu perubahan masyarakat, termasuk memperjuangkan pemeliharaan budaya pribumi, hak asasi manusia, dan anti rasuah. Sejak internet mula diterima masyarakat secara menyeluruh pada tahun 2000-an, aktivisme telah berkembang dari bentuk tradisional kepada aktivisme digital yang menggunakan medium internet dan media sosial. Aktivisme memerlukan komitmen, kreativiti, dan keberanian untuk menggerakkannya hingga ia mencapai satu tahap yang mampu mempengaruhi keputusan politik.