Abdul Hamid Mydin

Abdul Hamid bin Mydin @ Hamid Maidin merupakan orang yang diiktiraf sebagai pencipta dan pengasas kepada Sepakraga Takraw oleh Persatuan Sepak Raga Jaring Malaysia. Beliau turut menerima Pingat emas Khir Johari dari Yang Di Pertua Persatuan Sepak Raga Jaring Malaysia iaitu Encik Mohamed Khir Johari dalam satu majlis yang berlangsung pada 7 Ogos 1977 di Dewan Sekolah Tinggi Han Chiang, Pulau Pinang.

Pada mulanya, sukan yang dicipta oleh Hamid Mydin dikenali sebagai "bola sepak jaring", sebelum ditukar kepada "bolasepak jala" dan akhirnya kepada sepak takraw. Corak permainan sepaktakraw dibangunkan oleh Abdul Hamid Mydin bersama-sama Encik Yusoff Latiff yang menjawat Setiausaha Agung Persatuan Sepaktakraw Malaysia. Beliau kemudian bersama Syed Abbas Al-Habshee telah mengemukakan corak permainan yang dikembangkan itu kepada Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan Malaysia dan diterima sebagai sukan yang dikembangkan pada peringkat kebangsaan.